Cukai Kripto di Malaysia: Apa Yang Anda Perlu Tahu
Dengan perkembangan pesat mata wang digital seperti Bitcoin, Ethereum, dan lain-lain, ramai yang terlibat dalam urusan kripto sama ada sebagai pelabur, pedagang, atau pelombong. Namun, adakah anda tahu bagaimana cukai dikenakan ke atas transaksi ini di Malaysia?
1. Transaksi Kripto: Siapa yang Perlu Bayar Cukai?
Cukai dikenakan berdasarkan aktiviti dan niat anda. Berikut pecahan yang perlu diberi perhatian:
• Perdagangan Aktif: Jika anda kerap membeli dan menjual kripto untuk keuntungan, ia dianggap sebagai aktiviti perniagaan. Keuntungan ini dikenakan cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.
• Pelaburan Jangka Panjang: Jika anda menyimpan kripto sebagai pelaburan dan menjualnya selepas tempoh yang panjang, keuntungan tersebut dikategorikan sebagai keuntungan modal. Malaysia tidak mengenakan cukai keuntungan modal, jadi ia tidak dikenakan cukai.
Contoh:
Jika anda membeli kripto dan menjualnya selepas beberapa hari untuk mendapatkan keuntungan, ia dikira sebagai pendapatan bercukai. Namun, jika anda menyimpannya selama 3 tahun dan menjual untuk keuntungan, keuntungan ini dikecualikan cukai.
2. Perlombongan Kripto
Bagi individu atau syarikat yang menjalankan aktiviti perlombongan kripto:
• Pendapatan daripada menjual kripto hasil perlombongan dianggap sebagai pendapatan bercukai.
• Jika anda menerima bayaran untuk perkhidmatan perlombongan (seperti mining bagi pihak pelanggan), bayaran itu juga dikenakan cukai.
Contoh:
Seorang pelombong menjual Bitcoin hasil perlombongan dengan niat menjana keuntungan. Keuntungan tersebut dianggap sebagai hasil perdagangan dan dikenakan cukai.
3. Menerima Kripto Sebagai Bayaran
Jika perniagaan anda menerima kripto sebagai bayaran untuk barangan atau perkhidmatan, transaksi tersebut perlu direkodkan dalam Ringgit Malaysia (RM) berdasarkan nilai pasaran kripto pada tarikh urus niaga.
Contoh:
• Sebuah syarikat menerima 1 Bitcoin sebagai bayaran untuk perkhidmatan IT. Jika 1 Bitcoin bernilai RM100,000 pada hari pembayaran, jumlah ini akan diiktiraf sebagai pendapatan bercukai.
Bagi pekerja yang menerima gaji dalam bentuk kripto, nilai gaji dalam Ringgit Malaysia perlu direkodkan dan dilaporkan sebagai pendapatan bercukai.
4. Pelaburan dalam Kripto
Jika anda melabur dalam kripto tanpa kekerapan transaksi atau niat untuk berdagang, keuntungan yang diperoleh daripada penjualan kripto dianggap sebagai keuntungan modal.
Namun, jika pelaburan anda mempunyai ciri-ciri seperti aktiviti sistematik, aktif, dan bertujuan menjana keuntungan cepat, keuntungan ini boleh dianggap sebagai hasil perdagangan dan dikenakan cukai.
Contoh:
Effendi membeli 2 unit Bitcoin bernilai RM50,000. Selepas 3 tahun, dia menjualnya pada harga RM80,000. Keuntungan RM30,000 ini tidak dikenakan cukai kerana ia dianggap keuntungan modal.
5. Penentuan Keuntungan Modal atau Hasil
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) menggunakan beberapa petunjuk untuk menentukan sama ada keuntungan itu modal atau hasil:
• Tempoh Pegangan: Semakin pendek tempoh pemilikan, semakin tinggi kebarangkalian ia dianggap sebagai pendapatan bercukai.
• Kekerapan Transaksi: Kerap membeli dan menjual menunjukkan aktiviti perdagangan.
• Motif: Jika tujuan pembelian adalah untuk mendapatkan keuntungan dalam masa singkat, ia dianggap sebagai aktiviti perniagaan.
6. Rekod Transaksi Kripto
LHDN menekankan kepentingan menyimpan rekod lengkap untuk urusan kripto, antaranya:
• Tarikh urus niaga dan nilai pasaran kripto dalam Ringgit Malaysia.
• Rekod pembelian dan penjualan.
• Alamat wallet kripto.
• Resit, invois, atau dokumen lain yang berkaitan.
Malaysia mengenakan cukai ke atas keuntungan hasil perdagangan kripto dan aktiviti berkaitan seperti perlombongan serta penerimaan bayaran dalam kripto. Namun, keuntungan modal daripada pelaburan kripto jangka panjang tidak dikenakan cukai. Pastikan anda memahami aktiviti anda dan menyimpan rekod lengkap untuk memudahkan urusan cukai bersama LHDN.
Jika anda masih keliru atau memerlukan nasihat lanjut, pertimbangkan untuk mendapatkan khidmat pakar percukaian.
Sumber rujukan : https://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/GP_LAYANAN_CUKAI_KE_ATAS_TRANSAKSI_MATA_WANG_DIGITAL.pdf
Nak mula melabur dalam dunia crypto tapi risau halal ke tak? Bybit kini menawarkan Akaun Crypto Islamik yang dijamin patuh Syariah.
Tak ada riba, tak ada gharar, dan semuanya telus! Jom BACA bagaimana akaun ni boleh bantu anda berdagang dengan yakin dan tenang.