Fahami 4 Fasa Pasaran Saham untuk Pelaburan Lebih Bijak
Pasaran saham ni bukan bergerak ikut suka hati. Ada corak dan pergerakan yang berpusing dalam kitaran tertentu. Kalau faham 4 fasa ni, anda boleh jadi pemenang, bukan jadi mangsa yang rugi teruk.
1. Fasa Pengumpulan (Accumulation Phase)
Ini fasa di mana pelabur bijak mula “mengumpul” saham secara senyap-senyap. Biasanya fasa ni berlaku lepas kejatuhan besar dalam pasaran (bear market). Harga saham pun bergerak mendatar atau dalam julat tertentu.
Strategi: Cari saham yang undervalued tetapi mempunyai asas syarikat yang kukuh. Ini masa yang paling sesuai nak beli saham berkualiti sebab harganya masih murah.
2. Fasa Kenaikan (Markup Phase)
Dalam fasa ni, harga saham mula naik secara konsisten lepas fasa bear market berakhir. Keyakinan pelabur meningkat, aktiviti membeli pun semakin rancak. Semua orang optimis pasaran tengah naik.
Strategi:
• Pegang saham anda yang dah dibeli awal.
• Pertimbangkan tambah lagi pelaburan jika nampak peluang.
• Tapi, hati-hati dengan saham yang dah terlalu mahal (overvalued). Jangan terlalu tamak!
3. Fasa Pengagihan (Distribution Phase)
Ini fasa harga saham mencapai kemuncak. Ramai pelabur jadi terlalu yakin dan optimis. Tapi, dalam diam, pelabur institusi atau “orang dalam” mula jual saham sebab mereka tahu fasa kejatuhan bakal tiba.
Strategi:
• Mula kurangkan pegangan saham, terutama yang nampak dah “terlalu mahal”.
• Alihkan sebahagian pelaburan ke sektor yang lebih defensif atau stabil.
4. Fasa Penurunan (Decline Phase)
Di sini, harga saham mula jatuh. Panik mula melanda, ramai berlumba-lumba jual saham untuk elak kerugian lebih besar. Fasa ni biasanya datang semasa kemelesetan ekonomi atau isu besar dalam pasaran.
Strategi:
• Lindungi modal anda. Pegang lebih banyak tunai atau alihkan pelaburan ke aset yang lebih stabil seperti bon.
• Pantau pasaran, dan bersiap sedia untuk beli saham bila ada tanda-tanda pasaran dah “bottom-out”.
🔰Tip Untuk Kawal Kitaran Pasaran dengan Bijak
1. Jangan Emosi, Berfikiran Rasional
Kawal emosi anda. Pasaran yang turun naik boleh buat orang panik atau tamak. Guna data dan matlamat jangka panjang sebagai panduan untuk buat keputusan.
2. Rancang Strategi Keluar Awal-Awal
Tetapkan kriteria jelas untuk jual saham. Sama ada berdasarkan penurunan peratus tertentu, harga sasaran, atau perubahan dalam asas syarikat. Strategi keluar yang jelas bantu anda elak buat keputusan melulu.
3. Fokus Pada Asas Syarikat, Bukan 'Noise’ Pasaran
Jangan mudah terpengaruh dengan khabar angin atau turun naik harian harga saham. Fokus pada pendapatan syarikat, potensi pertumbuhan, dan petunjuk ekonomi. Keputusan berdasarkan nilai asas lebih selamat untuk jangka panjang.
Bila anda faham corak ni, langkah pelaburan anda akan lebih tersusun. Jangan buru-buru. Setiap fasa ada peluang tersendiri, yang penting anda tahu bila nak masuk, bila nak keluar, dan bila nak tunggu.