Bidang kajian sains perilaku kewangan (behavioral finance studies) yang muncul sejak kebelakangan ini, mengkaji keputusan pelaburan yang tidak rasional yang dibuat oleh para pelabur.
Bidang kajian ini mungkin dapat memberikan kita gambaran tentang "irrational market swing" yang kadang-kadang dapat kita lihat ketika pasaran tiba-tiba memecut naik atau menjunam jatuh dalam masa yang singkat. Salah satu contoh keputusan pelaburan yang dipengaruhi oleh emosi adalah "kesan disposisi”.
Ketika pelabur menjual saham dari portfolio mereka, mereka cenderung menjual saham yang telah memberikan keuntungan dan mengekalkan saham yang rugi.
"Sudah menjadi lumrah manusia bersifat begitu," kata Daniel Kahneman, yang menerima Nobel Laureate dalam Ekonomi untuk karya perintisnya dalam bidang kajian "behavioral finance".
Jika anda menjual saham yang telah meningkat berbanding dengan harga ketika anda membelinya, anda akan memuji diri anda sendiri atas keputusan dan kejayaan pelaburan tersebut.
Tetapi, apabila anda menjual saham yang sedang mengalami kerugian, anda sebaliknya menerima hukuman (dalam bentuk kerugian) kerana membuat pilihan saham yang ternyata salah.
Tidaklah menghairankan bahawa orang lebih suka memuji diri daripada menghukum diri mereka sendiri.
Jadi bagaimana anda hendak mengelakkan daripada terjerumus ke dalam konflik sebegini? Iaitu dengan adanya objektif dan strategi yang berkesan dalam pelaburan.
Tetapi objektif dan strategi sahaja tidak dapat menjamin kejayaan dalam pelaburan saham.
Faktor lain adalah, disiplin. Tanpa displin, perancangan yang begitu teliti sekalipun tidak dapat menjamin kejayaan sesuatu pekerjaan, terutaamanya dalam bidang pelaburan saham.