![Apakah itu Analisa Fundamental?](http://elitista.com.my/cdn/shop/articles/Analisa_Fundamental.png?v=1697021722&width=1100)
Apakah itu Analisa Fundamental?
Apabila kita membeli saham sesebuah syarikat, sebenarnya kita membeli sebahagian daripada pemilikan (ownership) daripada perniagaan yang dijalankan oleh syarikat tersebut.
Untuk menjadi seorang pelabur yang berjaya, seseorang itu perlulah membeli saham syarikat yang perniagaannya akan meningkat nilainya dari semasa ke semasa. Jika perniagaan itu meningkat dari segi nilainya, secara teorinya harga saham syarikat tersebut akan turut sama meningkat untuk mengambil kira nilai sebenar syarikat tersebut.
Pada masa yang sama, kita akan meletakkan sebuah tanda aras supaya meletakkan pelaburan hanya ke atas syarikat yang mempunyai posisi kewangan yang cukup kukuh untuk menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya krisis kewangan atau cabaran di dalam perniagaan.
Objektif utama melakukan Analisa Fundamental adalah untuk memastikan harga saham yang ingin dibeli itu berada di bawah nilai sebenar (Undervalue) dan bukannya melebihi nilai sebenar (Overvalue).
Analisa Fundamental adalah sebuah proses menganalisa Penyata Kewangan (Financial Statement) yang terdiri daripada Penyata Imbangan (Balance Sheet), Penyata Pendapatan (Income Statement) dan Penyata Aliran Tunai (Cash Flow Statement) sesebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia untuk menentukan keupayaannya untuk menambah nilai dan juga posisi kewangan yang stabil.
Selain itu dalam proses menjalankan Analisa Fundamental, faktor semasa yang mempengaruhi operasi syarikat pada masa sekarang dan masa depan akan diambil kira. Sebagai contoh, syarikat yang melakukan operasi berkaitan dengan industri minyak dan gas pasti akan dipengaruhi oleh sentimen pergerakan harga minyak dunia.
Analisa Fundamental juga merangkumi proses menentukan nilai sebenar (Intrinsic Value) sesebuah syarikat. Nilai sebenar sesebuah syarikat tidak akan dapat ditentukan daripada pergerakan harga saham dalam jangka masa pendek kerana ia sangat dipengaruhi oleh sentimen dan emosi pasaran. Ia hanya akan dapat dicapai dalam jangka masa panjang.